Wednesday, September 3, 2014

PENGENALAN

PENGENALAN
SEKAPUR SIREH
Selamat sejahtera untuk semua. Pertama sekali, diharapkan denagn adanya naskah ini akan dapat memberi gambaran yang lebih jelas mengenai HOMESTAY SG. SIREH. Terletak di daerah yang amat di kenali sebagai Jelapang Padi Tercanggih di Malaysia ini, kami merasakan kampung ini mempunyai daya tarikan yang amat kuat,baik di mata pelancong domestic ataupun luar Negara.

Lokasi
Lokasi yang amat strategik, berhampiran dengan sungai yang berpunca dari Sungai Tg. Malim, mempunyai tidak kurang dari 100 keping sawah padi yang di usahakan sendiri oleh penduduk kampung dan mempunyai persekitaran kampung yang masih terpelihara dan tidak tercemar oleh pembangunan, dengan bentuk-bentuk rumah dan lanskap kampung yang benar-benar memikat setiap jiwa yang datang ke sini.Kampung ini bersebelahan dengan kampung Sri Gambut,Sawah Sempadan, dan Sg. Burung. Kampung ini juga tidak jauh dari pekan, 10km ke pekan Tanjung Karang, dan 15 km ke pekan Sekinchan.

Mitos
Mengikut cerita orang tua-tua yang sudah lama menetap disini, nama Sg. Sireh ini adalah diambil kerana satu mitos pada zaman dahulu, sejenis penyakit telah merebak di kampung ini, dan cara untuk menyelesaikannya adalah dengan membuang daun sireh ke dalam sungai yang terletak di hujung kampung kerana dipercayai daun sireh ini ada kuasa untuk mengubat penyakit. Ketika itu, sungai tersebut dipenuhi daun-daun sireh dan sejak itu penduduk setempat dan sekitaran memanggil kampung ini kampung Sg. Sireh.

FACILITIES
Dewan
Dewan Terbuka boleh memuatkan sehingga 400-500 orang. Dilengkapi dengan kerusi dan meja.
Dewan Tertutup boleh memuatkan sehingga 300 orang. Dilengkapi dengan kerusi dan meja untuk mesyuarat.
Balai raya
Untuk memastikan keselamatan dan keselesaan peserta yang datang, pihak kami telah menyediakan balai raya berhampiran. Disitu kami menempatkan pasukan RELA yang terdiri dari penduduk kampung ini sendiri untuk berkawal.
Pentas
Dilengkapi dengan 'sound system' yang lengkap dan mampu mengendalikan pelbagai acara seperti ucapan perasmian, kebudayaan, hiburan, dan bermacam-macam lagi.
Surau
Lokasi masjid yang jauh dari pejabat homestay menyebabkan kami berbesar hati membina surau yang terletak di kawasan pejabat untuk memudahkan para peserta Muslimin dan Muslimah yang ingin menunaikan kewajiban.
Tapak perkhemahan
Pilihan ini selalunya dibuat oleh peserta yang kebanyakannya disertai oleh para remaja yang inginkan cabaran. Tapak perkhemahan ini dijaga serta telah dipastikan selamat oleh pihak kami dari serangga berbahaya, namun masih mengekalkan suasana mencabar dengan keluasan yang boleh memuatkan sehingga 40-50 buah khemah.
Peralatan
Berkayak = 20 - 30 buah kayak
Jungle tracking = kasut getah disediakan
Torch light disediakan
Berkhemah = terdapat lebih daripada 30 buah khemah disediakan
Kedai runcit dan kedai makan
Walaupun jauh dari pekan, peserta juga tidak perlu risau untuk mendapatkan keperluan asas kerana ada kedai runcit terletak berhampiran. Kedai makan juga banyak terdapat di Homestay ini yang diusahakan oleh penduduk kampung ini dimana ada menyediakan makanan untuk sarapan pagi termasuk kuih-muih, nasi berlauk dan juga makanan panas.
Tandas awam
Terdapat tandas awam khas disediakan untuk peserta-peserta yang berada berhampiran kawasan pejabat.
Sumber
Kemudahan talifon awam dan mudah alih adalah dalam keadaan baik bagi semua talian. Begitu juga dengan electricity, dan sumber air. Biasanya gangguan bekalan hanya berlaku sekiranya ada berlaku kerosakan dan baik-pulih dan kami akan berusaha menyediakan bekalan air bersih yang secukupnya sekiranya berlaku gangguan.
AKTIVITI
Tarikan utama
Melihat kepada permintaan dan pandangan yang diberikan, kami telah menempatkan peserta tinggal bersama keluarga angkat sebagai tarikan utama kami. Terdapat lebih daripada 40 buah rumah Homestay dan ia pastinya menyediakan 40 keluarga angkat. Kapasiti untuk sesebuah keluarga angkat juga tidak ditentukan dan ianya fleksibel. Ada ketika sebuah keluarga mampu menyediakan tempat untuk lebih daripada 10 orang anak angkat dan ada ketika hanya 2 orang untuk satu keluarga. Disini, peserta akan berpeluang menjalani kehidupan seperti penduduk kampung yang lain, makan, minum, tidur, berkomunikasi, dan lain-lain ala kampung. Makanan yang disediakan di rumah keluarga angkat akan dimasak sendiri oleh ibu angkat masing-masing dengan resipi rahsia yang tersendiri. Kebanyakan menu yang disediakan adalah menu ala kampung seperti, ikan puyu@sepat tumis, gulai nangka, sambal belacan, serta ulaman kampung yang baru dipetik berhampiran rumah masing. Kebaikan yang diperolehi daripada tinggal bersama-sama keluarga angkat ini adalah peserta dapat mengenali dan belajar mengenai budaya setempat serta serba-sedikit tentang kawasan kampung serta sejarah yang ada. Masalah komunikasi juga tidak menjadi masalah kerana ramai peduduk kampung kini pandai berbahasa inggeris dan malah kemesraan yang diberikan oleh keluarga angkat juga amatlah memuaskan hati banyak pihak yang pernah menyertai program yang kami adakan.

Melihat suasana kampung dengan lebih dekat
Antara aktivit yang boleh mengimbau nostalgia ataupun mungkin adalah perngalaman pertama bagi sesetengah peserta adalah daripada aktiviti 3 serangkai ini.
v Berkebun
v Bersawah
v Menternak
Kami akan membawa setiap peserta melawat dan jika bernasib baik peserta sendiri akan diberi peluang untuk melakukan sendiri aktiviti tersebut ataupun 'hands on'. Untuk aktiviti berkebun, peserta akan dibawa melawat kebun-kebun cili, jagung, ubi ayu, keladi, timun, dan macam-macam lagi. Peluang melihat sawah padi juga menjadi pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan bagi sesetengah peserta. Peserta juga akan diberitahu serba sedikit tentang cara-cara bersawah padi, tempoh padi matang, dan sejarah manusia mula bersawah padi. Semenjak tahun 1970-an, dengan adanya binaan 'palong' atau terusan kecil yang menyalurkan air ke sawah-sawah penduduk di Tanjung Karang ianya sangat membantu dalam kemajuan dan peningkatan hasil dan mutu padi. Oleh kerana kehidupan di sawah padi ini kadangkala mengikut musim. Aktiviti yang berlainan disesuaikan mengikut musim, antaranya ialah apabila tiba musim air sawah keringkan dengan cara menyalirkan air ke dalam parit, aktiviti yang sesuai ialah memancing. Ini adalah kerana apabila air dilepaskan ke parit, ikan-ikan yang ada turut sama dilepaskan, dan ketika itu jumlah ikan akan bertambah. Setelah selesai musim menuai, keadaan sawah yang lapang sangat sesuai jika diadakan pertandingan wau ataupun layang-layang. Selain itu, ada aktiviti 'mengagau' ikan di dalam parit-parit kecil antara sawah. Tidak dilupakan, peserta juga akan berpeluang melihat kawasan penternakan yang ada di kampung ini, antaranya penternakan ayam, itik, kambing,lembu, dan termasuk juga ikan air tawar. Sebahagian penternakan yang dijayakan dengan bantuan Kementerian Pertanian dan ada antaranya diusahakan sendiri oleh penduduk kampung.
Melawat ke Industri Kecil & Sederhana @ IKS

Membuat bahulu -
Teknologi telah membawa perubahan yang amat baik di dalam dunia memproses kuih-kuih tradisional. Jika dahulunya, kuih-muih ini disediakan dengan hanya menggunakan tenaga manusia, namun sekarang sudah tercipta mesin-mesin untuk memukul telur, membancuh tepung, dan oven yang menggantikan fungsi dapur arang kayu.

Membuat kerisik -
Menyedari kesukaran suri-suri rumahtangga untuk menghasilkan kerisik, ada penduduk kampung yang mempelopori industri kerisik dimana ianya telah siap untuk digunakan. Proses dan beberapa tips langkah mudah untuk menyediakan kerisik juga disediakan bagi peserta yang berminat.

Membuat bawang goreng -
Bawang goreng adalah antara produk kampung ini yang mendapat sambutan hangat kerana kesegaran dan mempunyai tekstur yang cantik. Di samping perniagaan, industry kecil ini juga banyak memberi sumbangan secara tidak langsung kepada penduduk kampung menambah pendapatan dengan mengambil upah mengupas dan memproses bawang.

Membuat jamu -
Penggunaan produk jamu sangat tidak asing bagi penduduk yang tinggal di desa dan mungkin hanya dikuasai penggunaan dan cara pemprosesannya oleh orang-orang yang benar-benar berpengalaman. Permintaan terhadap ubat-ubatan tradisional ataupun jamu adalah tinggi dan hampir tidak mampu memenuhi pasaran kerana penghasilan jamu tersebut memerlukan dau-daun serta akar kayu yang sukar diperolehi. Peserta berpeluang melihat sendiri cara-cara pembuatan jamu serta mencuba jamu tersebut.

Keistimewaan
Keistimewaan homestay ini berbanding tempat lain adalah mempunyai sungai yang mengalir tenang yang berpunca daripada sungai Tanjung Malim.Sungai ini menjadi pemisahan antara kampung kami dengan hutan simpan. Pelbagai acara/sukan air telah biasa dilakukan disini, antaranya ialah aktiviti berkayak dan merentasi sungai menggunakan rakit. Setiap aktiviti ini mempunyai beberapa orang pelatih @ coach yang akan member tunjuk ajar dan memastikan keselamatan peserta-peserta. Selain itu, di hujung kampung ini, terdapat empangan sungai yang mengalirkan air ke hilir sungai. Ada juga penduduk kampung yang sering menangkap ikan di empangan tersebut sebagai hobi dan jika mendapat hasil yang banyak, mereka boleh menjual ikan-ikan tersebut dengan harga yang berbaloi.

Keunikan
Perkara yang lebih menambah keunikan kampung ini kerana bersebelahan dengan hutan simpan yang dipisahkan oleh sebatang sungai. Aktiviti mencabar yang biasa dilakukan disini adalah 'jungle tracking' ataupun meredah hutan. Kebanyakan penyelaras pasukan memang berminat dengan aktiviti mencabar ini kerana dapat mengukuhkan kerjasama antara pasukan atau peserta-peserta yang hadir di samping dapat melihat keindahan alam flora dan fauna. Ada kalanya, jungle tracking ini dibuat pada waktu malam dan kami juga ada menyediakan 'track' atau laluan yang selamat, khas demi menjaga keselamatan para peserta.

Lawatan ke tempat-tempat bersejarah dan menarik
Bukit Melawati -
Mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Pada zaman dahulu, bukit ini dijadikan sebagai pertahanan Kuala Selangor dari serangan Portugis. Peninggalan yang masih boleh dilihat adalah meriam dan ada antaranya meriam ini pernah meletup secara tiba-tiba dan kini meriam tersebut di balut dengan kain kuning. Disini kita dapat melihat pemandangan Kuala Selangor dan terdapat mini muzium yang dibina untuk meletakkan barangan bersejarah. Selain itu terdapat rumah api, batu hampar, perigi tujuh dan makam di-Raja untuk dilawati. Disini juga sering menjadi tumpuan apabila tiba bulan rammadhan kerana dijadikan tempat melihat anak bulan Hari Raya Puasa
Bukit Anak Dara -
Dipercayai dari sejarah di bukit ini ada seorang gadis dituduh dan dihukum kerana kesalahan orang lain. Oleh kerana hukuman tersebut adalah daripada titah Sultan, maka tiada siapa yang berani bersuara untuk menuntut keadilan. Tetapi sesudah hukuman dijalankan, terjadi sesuatu perkara yang mengejutkan umum. Rentetan dari peristiwa tersebut, orang ramai mula menyiasat dan kebenaran pun diketahui.
Taman Alam -
Pusat ini baru mendapat perhatian dan telah diishtihar sebagai pusat pemeliharaan serangga-serangga kecil. Disini kita dapat melihat keindahan alam di samping menenangkan fikiran dengan alunan dari serangga-serangga di situ.
Kawasan kelip-kelip -
Satu-satunya pusat melihat kelip-kelip atau firefly di Asia Tenggara. Kepupusan yang semakin ketara ini menyedarkan pihak berwajib untuk membuat pemeliharaan disamping masih memberi peluang kepada pelancong untuk melihat dengan lebih dekat. Mengikut kajian, serangga ini hanya makan daun pohon berembang dan hanya pada waktu-waktu yang tertentu sahaja. Pohon berembang ini pula hanya hidup di tepi sungai dan sesudah makan, kelip-kelip akan kembali ke sarang masing-masing. Walaupun kelip-kelip tidak tinggal di pokok berembang, tetapi kepupusan pokok ini menyebabkan serangga ini kekurangan makanan. Keunikan pada kelip-kelip ini adalah ia dapat mengeluarkan cahaya daripada bahagian belakang. Apabila ia terbang, sayapnya akan mengibas-ngibas dan keadaan ini menampakkan 'lampu' serangga ini berkelip-kelip. Serangga ini amat sensitif terhadap cahaya dan akan menjauhkan diri dari sumber cahaya sekiranya ada gangguan tersebut
Lain-lain
Melihat kawasan pekan -
Peserta juga berpeluang melawat pekan-pekan berhampiran. Pekan Tanjung Karang dan Pekan Sekinchan mempunyai identiti yang tersendiri. Perbezaan yang jelas antara kedua-dua pekan ini adalah di pekan Tanjung Karang lebih ramai orang Melayu dan di Pekan Sekinchan lebih ramai orang Cina.
Mardi -
Oleh kerana di Tanjung Karang adalah satu-satunya kawasan yang masih ada menanam padi di Selangor, pihak MARDI lebih mebuat penumpuan di dalam penyelidikan padi, dan di sini juga ada penjualan benih padi. Sebarang maklumat mengenai penanaman padi dan teknologi terkini yang digunakan juga boleh didapati di sini.
Bagan ikan -
Lokasi berhampiran Selat Cina Selatan dan kawasan pantai berlumpur adalah sesuai untuk penempatan dan pembiakan kerang-kerangan laut, seperti kerang, mentarang, ala-ala, dan siput. Mengikut sejarah juga, nama Tanjung Karang ini berasal dari Tanjung Kerang kerana pada zaman dahulu Tanjung Karang adalah pusat mencari kerang dimana perkataan Tanjung ini merujuk kepadajeti atau pusat dan akhirnya Tanjung Kerang menjadi Tanjung Karang. Sehingga kini, Tanjung Karang masih terkenal sebagai pusat memperolehi ikan segar dan kerang-kerangan laut. Para peserta juga berpeluang membeli ikan segar dan membawa pulang untuk dibakar ataupun barbeque.
Aktivit tambahan -
Selain pakej sedia ada, banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan disini termasuklah membuat majlis barbeque, cabutan hadiah, sukaneka, kerja-kerja amal dan lain-lain. Pihak kami sedia membantu menyediakan peralatan dan barangan keperluan sebaik yang mungkin. Selain itu terdapat aktiviti tambahan yang lain yang juga disediakan di Homestay Sg. Sireh, untuk persembahan menyambut tetamu, kompang, silat, tarian lilin, tarian zapin, dan sebagainya mengikut pilihan dan permintaan.
PENUTUP
Akhir kata kami mengalu-alukan kedatangan tuan - tuan dan puan-puan. Semoga dengan keindahan dan kecantikan desa kami memenuhi kehendak semua dan kami menyusun sepuluh jari memohon kemaafan sekiranya berlaku kecacatan dan kekurangan sepanjang anda semua berada di Homestay Sg. Sireh. Semoga yang baiki tu akan menjadi ingatan yang kekal dan semua yang buruk akan menjadi sempadan bagi kami. Semoga jumpa lagi.


-TERIMA KASIH-

No comments: