PENGENALAN
SEKAPUR SIREH
Selamat sejahtera untuk semua. Pertama sekali, diharapkan denagn adanya
naskah ini akan dapat memberi gambaran yang lebih jelas mengenai HOMESTAY SG.
SIREH. Terletak di daerah yang amat di kenali sebagai Jelapang Padi Tercanggih
di Malaysia ini, kami merasakan kampung ini mempunyai daya tarikan yang amat
kuat,baik di mata pelancong domestic ataupun luar Negara.
Lokasi
Lokasi yang amat strategik, berhampiran dengan sungai yang berpunca dari
Sungai Tg. Malim, mempunyai tidak kurang dari 100 keping sawah padi yang di
usahakan sendiri oleh penduduk kampung dan mempunyai persekitaran kampung yang
masih terpelihara dan tidak tercemar oleh pembangunan, dengan bentuk-bentuk
rumah dan lanskap kampung yang benar-benar memikat setiap jiwa yang datang ke
sini.Kampung ini bersebelahan dengan kampung Sri Gambut,Sawah Sempadan, dan Sg.
Burung. Kampung ini juga tidak jauh dari pekan, 10km ke pekan Tanjung Karang,
dan 15 km ke pekan Sekinchan.
Mitos
Mengikut cerita orang tua-tua yang sudah lama menetap disini, nama Sg.
Sireh ini adalah diambil kerana satu mitos pada zaman dahulu, sejenis penyakit
telah merebak di kampung ini, dan cara untuk menyelesaikannya adalah dengan
membuang daun sireh ke dalam sungai yang terletak di hujung kampung kerana
dipercayai daun sireh ini ada kuasa untuk mengubat penyakit. Ketika itu, sungai
tersebut dipenuhi daun-daun sireh dan sejak itu penduduk setempat dan sekitaran
memanggil kampung ini kampung Sg. Sireh.
FACILITIES
Dewan
Dewan Terbuka boleh memuatkan sehingga 400-500 orang. Dilengkapi dengan
kerusi dan meja.
Dewan Tertutup boleh memuatkan sehingga 300 orang. Dilengkapi dengan kerusi
dan meja untuk mesyuarat.
Balai raya
Untuk memastikan keselamatan dan keselesaan peserta yang datang, pihak kami
telah menyediakan balai raya berhampiran. Disitu kami menempatkan pasukan RELA
yang terdiri dari penduduk kampung ini sendiri untuk berkawal.
Pentas
Dilengkapi dengan 'sound system' yang lengkap dan mampu mengendalikan
pelbagai acara seperti ucapan perasmian, kebudayaan, hiburan, dan
bermacam-macam lagi.
Surau
Lokasi masjid yang jauh dari pejabat homestay menyebabkan kami berbesar
hati membina surau yang terletak di kawasan pejabat untuk memudahkan para
peserta Muslimin dan Muslimah yang ingin menunaikan kewajiban.
Tapak perkhemahan
Pilihan ini selalunya dibuat oleh peserta yang kebanyakannya disertai oleh
para remaja yang inginkan cabaran. Tapak perkhemahan ini dijaga serta telah
dipastikan selamat oleh pihak kami dari serangga berbahaya, namun masih
mengekalkan suasana mencabar dengan keluasan yang boleh memuatkan sehingga
40-50 buah khemah.
Peralatan
Berkayak = 20 - 30 buah kayak
Jungle tracking = kasut getah disediakan
Torch light disediakan
Berkhemah = terdapat lebih daripada 30 buah khemah disediakan
Kedai runcit dan kedai makan
Walaupun jauh dari pekan, peserta juga tidak perlu risau untuk mendapatkan
keperluan asas kerana ada kedai runcit terletak berhampiran. Kedai makan juga
banyak terdapat di Homestay ini yang diusahakan oleh penduduk kampung ini
dimana ada menyediakan makanan untuk sarapan pagi termasuk kuih-muih, nasi
berlauk dan juga makanan panas.
Tandas awam
Terdapat tandas awam khas disediakan untuk peserta-peserta yang berada
berhampiran kawasan pejabat.
Sumber
Kemudahan talifon awam dan mudah alih adalah dalam keadaan baik bagi semua
talian. Begitu juga dengan electricity, dan sumber air. Biasanya gangguan
bekalan hanya berlaku sekiranya ada berlaku kerosakan dan baik-pulih dan kami
akan berusaha menyediakan bekalan air bersih yang secukupnya sekiranya berlaku
gangguan.
AKTIVITI
Tarikan utama
Melihat kepada permintaan dan pandangan yang diberikan, kami telah
menempatkan peserta tinggal bersama keluarga angkat sebagai tarikan utama kami.
Terdapat lebih daripada 40 buah rumah Homestay dan ia pastinya menyediakan 40
keluarga angkat. Kapasiti untuk sesebuah keluarga angkat juga tidak ditentukan
dan ianya fleksibel. Ada ketika sebuah keluarga mampu menyediakan tempat untuk
lebih daripada 10 orang anak angkat dan ada ketika hanya 2 orang untuk satu
keluarga. Disini, peserta akan berpeluang menjalani kehidupan seperti penduduk
kampung yang lain, makan, minum, tidur, berkomunikasi, dan lain-lain ala
kampung. Makanan yang disediakan di rumah keluarga angkat akan dimasak sendiri
oleh ibu angkat masing-masing dengan resipi rahsia yang tersendiri. Kebanyakan
menu yang disediakan adalah menu ala kampung seperti, ikan puyu@sepat tumis,
gulai nangka, sambal belacan, serta ulaman kampung yang baru dipetik
berhampiran rumah masing. Kebaikan yang diperolehi daripada tinggal
bersama-sama keluarga angkat ini adalah peserta dapat mengenali dan belajar
mengenai budaya setempat serta serba-sedikit tentang kawasan kampung serta
sejarah yang ada. Masalah komunikasi juga tidak menjadi masalah kerana ramai
peduduk kampung kini pandai berbahasa inggeris dan malah kemesraan yang
diberikan oleh keluarga angkat juga amatlah memuaskan hati banyak pihak yang
pernah menyertai program yang kami adakan.
Melihat suasana kampung dengan lebih dekat
Antara aktivit yang boleh mengimbau nostalgia ataupun mungkin adalah
perngalaman pertama bagi sesetengah peserta adalah daripada aktiviti 3
serangkai ini.
v Berkebun
v Bersawah
v Menternak
Kami akan membawa setiap peserta melawat dan jika bernasib baik peserta
sendiri akan diberi peluang untuk melakukan sendiri aktiviti tersebut ataupun
'hands on'. Untuk aktiviti berkebun, peserta akan dibawa melawat kebun-kebun
cili, jagung, ubi ayu, keladi, timun, dan macam-macam lagi. Peluang melihat
sawah padi juga menjadi pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan bagi
sesetengah peserta. Peserta juga akan diberitahu serba sedikit tentang
cara-cara bersawah padi, tempoh padi matang, dan sejarah manusia mula bersawah
padi. Semenjak tahun 1970-an, dengan adanya binaan 'palong' atau terusan kecil
yang menyalurkan air ke sawah-sawah penduduk di Tanjung Karang ianya sangat
membantu dalam kemajuan dan peningkatan hasil dan mutu padi. Oleh kerana
kehidupan di sawah padi ini kadangkala mengikut musim. Aktiviti yang berlainan
disesuaikan mengikut musim, antaranya ialah apabila tiba musim air sawah
keringkan dengan cara menyalirkan air ke dalam parit, aktiviti yang sesuai
ialah memancing. Ini adalah kerana apabila air dilepaskan ke parit, ikan-ikan
yang ada turut sama dilepaskan, dan ketika itu jumlah ikan akan bertambah.
Setelah selesai musim menuai, keadaan sawah yang lapang sangat sesuai jika
diadakan pertandingan wau ataupun layang-layang. Selain itu, ada aktiviti
'mengagau' ikan di dalam parit-parit kecil antara sawah. Tidak dilupakan,
peserta juga akan berpeluang melihat kawasan penternakan yang ada di kampung
ini, antaranya penternakan ayam, itik, kambing,lembu, dan termasuk juga ikan
air tawar. Sebahagian penternakan yang dijayakan dengan bantuan Kementerian
Pertanian dan ada antaranya diusahakan sendiri oleh penduduk kampung.
Melawat ke Industri Kecil & Sederhana @ IKS
Membuat
bahulu -
Teknologi telah membawa perubahan yang amat baik di dalam dunia memproses
kuih-kuih tradisional. Jika dahulunya, kuih-muih ini disediakan dengan hanya
menggunakan tenaga manusia, namun sekarang sudah tercipta mesin-mesin untuk
memukul telur, membancuh tepung, dan oven yang menggantikan fungsi dapur arang
kayu.
Membuat
kerisik -
Menyedari kesukaran suri-suri rumahtangga untuk menghasilkan kerisik, ada
penduduk kampung yang mempelopori industri kerisik dimana ianya telah siap
untuk digunakan. Proses dan beberapa tips langkah mudah untuk menyediakan
kerisik juga disediakan bagi peserta yang berminat.
Membuat
bawang goreng -
Bawang goreng adalah antara produk kampung ini yang mendapat sambutan
hangat kerana kesegaran dan mempunyai tekstur yang cantik. Di samping
perniagaan, industry kecil ini juga banyak memberi sumbangan secara tidak
langsung kepada penduduk kampung menambah pendapatan dengan mengambil upah
mengupas dan memproses bawang.
Membuat jamu
-
Penggunaan produk jamu sangat tidak asing bagi penduduk yang tinggal di
desa dan mungkin hanya dikuasai penggunaan dan cara pemprosesannya oleh orang-orang
yang benar-benar berpengalaman. Permintaan terhadap ubat-ubatan tradisional
ataupun jamu adalah tinggi dan hampir tidak mampu memenuhi pasaran kerana
penghasilan jamu tersebut memerlukan dau-daun serta akar kayu yang sukar
diperolehi. Peserta berpeluang melihat sendiri cara-cara pembuatan jamu serta
mencuba jamu tersebut.
Keistimewaan
Keistimewaan homestay ini berbanding tempat lain adalah mempunyai sungai
yang mengalir tenang yang berpunca daripada sungai Tanjung Malim.Sungai ini
menjadi pemisahan antara kampung kami dengan hutan simpan. Pelbagai acara/sukan
air telah biasa dilakukan disini, antaranya ialah aktiviti berkayak dan
merentasi sungai menggunakan rakit. Setiap aktiviti ini mempunyai beberapa
orang pelatih @ coach yang akan member tunjuk ajar dan memastikan keselamatan
peserta-peserta. Selain itu, di hujung kampung ini, terdapat empangan sungai
yang mengalirkan air ke hilir sungai. Ada juga penduduk kampung yang sering
menangkap ikan di empangan tersebut sebagai hobi dan jika mendapat hasil yang
banyak, mereka boleh menjual ikan-ikan tersebut dengan harga yang berbaloi.
Keunikan
Perkara yang lebih menambah keunikan kampung ini kerana bersebelahan dengan
hutan simpan yang dipisahkan oleh sebatang sungai. Aktiviti mencabar yang biasa
dilakukan disini adalah 'jungle tracking' ataupun meredah hutan. Kebanyakan
penyelaras pasukan memang berminat dengan aktiviti mencabar ini kerana dapat
mengukuhkan kerjasama antara pasukan atau peserta-peserta yang hadir di samping
dapat melihat keindahan alam flora dan fauna. Ada kalanya, jungle tracking ini
dibuat pada waktu malam dan kami juga ada menyediakan 'track' atau laluan yang
selamat, khas demi menjaga keselamatan para peserta.
Lawatan ke tempat-tempat bersejarah dan
menarik
Bukit
Melawati -
Mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Pada zaman dahulu, bukit ini dijadikan
sebagai pertahanan Kuala Selangor dari serangan Portugis. Peninggalan yang
masih boleh dilihat adalah meriam dan ada antaranya meriam ini pernah meletup
secara tiba-tiba dan kini meriam tersebut di balut dengan kain kuning. Disini
kita dapat melihat pemandangan Kuala Selangor dan terdapat mini muzium yang
dibina untuk meletakkan barangan bersejarah. Selain itu terdapat rumah api, batu
hampar, perigi tujuh dan makam di-Raja untuk dilawati. Disini juga sering
menjadi tumpuan apabila tiba bulan rammadhan kerana dijadikan tempat melihat
anak bulan Hari Raya Puasa
Bukit Anak
Dara -
Dipercayai dari sejarah di bukit ini ada seorang gadis dituduh dan dihukum
kerana kesalahan orang lain. Oleh kerana hukuman tersebut adalah daripada titah
Sultan, maka tiada siapa yang berani bersuara untuk menuntut keadilan. Tetapi
sesudah hukuman dijalankan, terjadi sesuatu perkara yang mengejutkan umum.
Rentetan dari peristiwa tersebut, orang ramai mula menyiasat dan kebenaran pun
diketahui.
Taman Alam -
Pusat ini baru mendapat perhatian dan telah diishtihar sebagai pusat
pemeliharaan serangga-serangga kecil. Disini kita dapat melihat keindahan alam
di samping menenangkan fikiran dengan alunan dari serangga-serangga di situ.
Kawasan
kelip-kelip -
Satu-satunya pusat melihat kelip-kelip atau firefly di Asia Tenggara.
Kepupusan yang semakin ketara ini menyedarkan pihak berwajib untuk membuat
pemeliharaan disamping masih memberi peluang kepada pelancong untuk melihat
dengan lebih dekat. Mengikut kajian, serangga ini hanya makan daun pohon
berembang dan hanya pada waktu-waktu yang tertentu sahaja. Pohon berembang ini
pula hanya hidup di tepi sungai dan sesudah makan, kelip-kelip akan kembali ke
sarang masing-masing. Walaupun kelip-kelip tidak tinggal di pokok berembang,
tetapi kepupusan pokok ini menyebabkan serangga ini kekurangan makanan.
Keunikan pada kelip-kelip ini adalah ia dapat mengeluarkan cahaya daripada
bahagian belakang. Apabila ia terbang, sayapnya akan mengibas-ngibas dan
keadaan ini menampakkan 'lampu' serangga ini berkelip-kelip. Serangga ini amat
sensitif terhadap cahaya dan akan menjauhkan diri dari sumber cahaya sekiranya ada
gangguan tersebut
Lain-lain
Melihat
kawasan pekan -
Peserta juga berpeluang melawat pekan-pekan berhampiran. Pekan Tanjung
Karang dan Pekan Sekinchan mempunyai identiti yang tersendiri. Perbezaan yang
jelas antara kedua-dua pekan ini adalah di pekan Tanjung Karang lebih ramai
orang Melayu dan di Pekan Sekinchan lebih ramai orang Cina.
Mardi -
Oleh kerana di Tanjung Karang adalah satu-satunya kawasan yang masih ada
menanam padi di Selangor, pihak MARDI lebih mebuat penumpuan di dalam
penyelidikan padi, dan di sini juga ada penjualan benih padi. Sebarang maklumat
mengenai penanaman padi dan teknologi terkini yang digunakan juga boleh
didapati di sini.
Bagan ikan -
Lokasi berhampiran Selat Cina Selatan dan kawasan pantai berlumpur adalah
sesuai untuk penempatan dan pembiakan kerang-kerangan laut, seperti kerang,
mentarang, ala-ala, dan siput. Mengikut sejarah juga, nama Tanjung Karang ini
berasal dari Tanjung Kerang kerana pada zaman dahulu Tanjung Karang adalah
pusat mencari kerang dimana perkataan Tanjung ini merujuk kepadajeti atau pusat
dan akhirnya Tanjung Kerang menjadi Tanjung Karang. Sehingga kini, Tanjung
Karang masih terkenal sebagai pusat memperolehi ikan segar dan kerang-kerangan
laut. Para peserta juga berpeluang membeli ikan segar dan membawa pulang untuk
dibakar ataupun barbeque.
Aktivit
tambahan -
Selain pakej sedia ada, banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan disini
termasuklah membuat majlis barbeque, cabutan hadiah, sukaneka, kerja-kerja amal
dan lain-lain. Pihak kami sedia membantu menyediakan peralatan dan barangan
keperluan sebaik yang mungkin. Selain itu terdapat aktiviti tambahan yang lain
yang juga disediakan di Homestay Sg. Sireh, untuk persembahan menyambut tetamu,
kompang, silat, tarian lilin, tarian zapin, dan sebagainya mengikut pilihan dan
permintaan.
PENUTUP
Akhir kata kami mengalu-alukan kedatangan tuan - tuan dan puan-puan. Semoga
dengan keindahan dan kecantikan desa kami memenuhi kehendak semua dan kami
menyusun sepuluh jari memohon kemaafan sekiranya berlaku kecacatan dan
kekurangan sepanjang anda semua berada di Homestay Sg. Sireh. Semoga yang baiki
tu akan menjadi ingatan yang kekal dan semua yang buruk akan menjadi sempadan
bagi kami. Semoga jumpa lagi.
-TERIMA KASIH-